Saturday 13 April 2013

KONSEP MUKJIZAT AL-QURAN


Pengenalan
Tuhan telah membekalkan rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW dengan banyak mukjizat untuk membuktikan kebenarannya sebagai utusan Allah. Allah juga telah membekalkan kitab terakhir Al-Quran dengan beberapa mukjizat untuk membuktikan bahawa Al Quran dalam kalam Allah, diwahyukan kepada nabi dan bukan ditulis oleh manusia biasa. Al-Quran adalah kitab petunjuk bagi seluruh manusia yang di dalamnya juga mengandungi penjelasan sebagai petunjuk. Bukti-bukti itulah yang kita katakan sebagai mukjizat kerana dengan bukti-bukti ini manusia tidak dapat mengingkari kebenaran isi Al-Quran.
Al-Quran merupakan satu satunya kitab samawi yang jelas dan tegas menyatakan bahawa tidak seorang pun yang mampu mendatangkan kitab sepertinya mahupun seluruh manusia dan jin berkumpul untuk melakukan hal itu. Selain itu, mereka tidak akan mampu menyusun mahupun hanya sekadar sepuluh muka surat sahaja. Oleh sebab itu, tidak diragukan lagi bahawa Al-Quran telah membuktikan pengakuannya sebagai mukjizat. Sebagaimana rasul SAW, pembawa kitab ini telah menyampaikan kepada umat manusia sebagai mukjizat yang abadi dan bukti yang kuat diatas kenabiannya hingga akhir masa.

Pengertian Mukjizat
            Perkataan ’mukjizat’ berasal daripada perkataan arab iaitu  ”عجز” yang membawa maksud lemah. Mukjizat dari sudut bahasa membawa maksud “yang melemahkan”. Menurut Ustaz Kariman, mukjizat dari segi bahasa bermaksud kekuatan untuk menjadikan orang lain lemah yang begitu ketara. Ini dimiliki oleh Al-Quran mulai daripada ayat pertama hingga akhir ayat di mana baik dari segi bahasa mahupun dari segi pemberitaannya yang telah berlaku dan yang akan berlaku. Dari segi istilah agama pula mukjizat ialah sesuatu yang luar biasa yang dapat melemahkan manusia dan diluar kemampuan serta tidak mampu dilakukan oleh mana-mana manusia pun. Mukjizat boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Mukjizat Khisi (حسي ) dan Mukjizat Maknawi ( معنوي ).

Pengertian Al-Quran
Perkataan Al-Quran berasal dari kata dasar ‘Qara-a’ yang bererti pengumpulan, penyatuan dan gandingan. Al-Quran juga berasal dari perkataan ‘Qiraah’ yang boleh diertikan sebagai gabungan huruf-huruf dan kalimah-kalimah di antara satu sama lain di dalam pembacaan yang tersusun. Perkataan Al-Quran pada asalnya sama erti dengan perkataan ‘Al-Qiraah’ iaitu ‘Qara-a, Qira-atan, Qura-anan’. Firman Allah SWT dalam surah Al-Qiyamah ayat 17 hingga 18 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.”
Berdasarkan firman Allah di atas, ia menjadi gelaran yang khusus kepada kitab yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Di samping itu, ada sebahagian ulama’ yang menjelaskan bahawa gelaran Al-Quran sebenarnya kembali kepada isi Kitab Allah tersebut yang mengumpulkan segala apa yang ada di dalam kitab-kitab yang diturunkan Allah kepada nabi-nabi sebelum baginda SAW. Demikianlah pengertian Al-Quran dalam Bahasa Arab yang antara lain bermaksud pengumpulan, gandingan serta penyatuan dan bacaan.
Manakala daripada segi istilah pula, ada berbagai definasi yang telah diutarakan oleh ramai ulama. Namun, di antara pengertiannya yang terbaik dari sudut istilah ialah kalam Allah yang merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril yang disampaikan secara mutawatir dan membacanya adalah satu ibadah. Justeru itu, salah satu sifat atau ciri Al-Quran ialah Al-Qu’an merupakan suatu mukjizat yang mana semua makhluk tidak mampu menandinginya.



2 comments:

  1. sy ada ambil mklumat drpd blog saudara. Mohon dihalalkan

    ReplyDelete
  2. sy ada ambil mklumat dari blog akh..mohon dihalalkan

    ReplyDelete